54 kumpulan ulangi pendirian bantah Malaysia sertai CPTPP

Selepas gagal ‘memujuk’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir bulan lalu, kali ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dijadikan sandaran.

Ia susulan penyertaan Malaysia secara sah dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang sudah pun diwartakan pada 29 November lalu.

Bagaimanapun, hari ini kumpulan pelbagai badan tempatan itu bertindak pula menyerahkan memorandum bantahan kepada menteri tersebut, Mohamad Sabu di Wisma Tani di sini.

Mereka yang disertai sejumlah 54 organisasi itu malah mengulangi pendirian agar Malaysia menarik balik ratifikasi triti dimeterai oleh pihak kerajaan Perikatan Nasional terdahulu.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhamad ketika ditemui pemberita berkata, memorandum kali ini juga mahu mendapatkan penjelasan tuntas.

“Adakah pihak kementerian berkenaan telah melaksanakan penilaian dan kajian terperinci kesan terhadap para petani, penternak, nelayan dan usahawan sektor pertanian,” soalnya.

Bahkan beliau dalam nada kerisauan menyenaraikan enam keburukan CPTPP yang turut memberi impak negatif kepada pengguna di Malaysia dari aspek keterjaminan makanan.

Memorandum kumpulan itu diterima sendiri oleh Mohamad di lobi kementerian tersebut dan beliau memberi respon secara ringkas akan melihat terlebih dahulu segala isu dibangkit.

Ini termasuk gesaan agar pihak kementeriannya membawa perkara itu kepada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat selain mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam CPTPP.

Turut hadir pada penyerahan memorandum itu yang mendapat liputan luas daripada pelbagai media ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

Pada 25 November lalu, Felo Kanan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Azlan Awang menyerahkan memorandum yang sama kepada Anwar di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Beliau yang mewakili sejumlah 24 pakar ekonomi, 57 badan bukan kerajaan, 10 kesatuan sekerja dan lebih 50 individu itu mendakwa bahawa CPTPP memberikan impak tidak baik.

Perjanjian tersebut ujarnya, terlalu kompleks dan seumpama jerangkap kepada ekonomi Malaysia yang turut bakal menyukarkan Kerajaan Perpaduan merangka polis mesra rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata, situasi kali ini sudah cukup baik kerana Malaysia telah ada perjanjian perdagangan bebas dengan tujuh negara dan lapan lagi menerusi ASEAN.

Tindakan kumpulan itu namun dibidas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan mereka sebagai anti-perdagangan global.

Dalam nada tegas, beliau juga meminta Anwar agar tidak melayan tuntutan mereka yang berfahaman kiri itu dan jika dibatalkan, ekonomi Malaysia dibimbangi merosot lebih teruk.

Turut baca :

54 kumpulan ulangi pendirian bantah Malaysia sertai CPTPP

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*