Wang ‘terima kasih’, bekas pengarah jabatan air dibayar RM1.35 juta

Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah berkata beliau memberikan wang kepada pengarah agensi berkenaan ketika itu, Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, RM1.35 juta setahun, bermula 2004 hingga 2015.

Katanya, tindakan itu sebagai tukaran diberikan kontrak kepada syarikatnya.

Wong Kok Vui @ Michael, 69, memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, bahawa beliau mula membayar wang tersebut sebagai tanda “terima kasih” selepas Tahir dilantik sebagai pengarah agensi itu, pada 2003.

Menurut The Borneo Post, Wong berkata, pembayaran dibuat tiga kali setahun dengan setiap pembayaran melibatkan RM450,000, dan dianggarkan telah membayar Tahir sekitar RM16.2 juta keseluruhannya.

Beliau berkata, dana disalurkan itu sebagai penghargaan kerana memperuntukan kontrak kepada syarikatnya, Bintang Jaya Enterprise.

“Jika saya tidak memberikan dia wang, besar kemungkinan saya tidak mampu mendapatkan sebarang kontrak daripada pihak jabatan. Selepas memaklumkan kepada dia sehari sebelum, kami kebiasaaan akan bertemu berdekatan resort golf. Saya akan masuk ke keretanya dan meletakkan wang dalam beg plastik di lantai keretanya.

“Jika kami ada kelapangan, kami akan minum kopi di sana sekitar 20 minit seperti itu, tetapi kami tidak pernah berbincang berhubung wang sumbangan. Hanya cakap-cakap kosong.

“Saya fikir saya sudah meraih lingkungan RM12 juta keuntungan bersih daripada projek diberikan kepada saya,” katanya.

Tahir, 58, sedang dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah jabatan air negeri, Lim Lam Beng, 66.

Pada 29 Dis 2016, ketiga-tiga mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM61.57 juta.

Bekas timbalan pengarah jabatan, Teo Chee Kong, yang pada mulanya merupakan suspek utama dalam kes berkenaan, dibebaskan daripada 146 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM32.93 juta, pada Mac 2022.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*