Pembantu Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang menjadi tumpuan kontroversi berhubung rakaman video tular dilapor mendakwa bahawa dia diganggu secara seksual.
Laporan polis Abdul Wahab di Balai Polis Kajang semalam dikatakan menyatakan dakwaan dia berdepan gangguan seksual oleh bekas ketua pengarah J-KOM, Mohammad Agus Yusoff.
Media melaporkan bahawa polis sedang menyiasat dakwaan itu.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain dipetik media bahawa pihak mereka sedang menyiasat dakwaan berkenaan.
“Abdul Wahab mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu.
“Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan,” kata Razarudin seperti dilapor.
Dakwaan terbaru itu tidak dikongsi oleh Abdul Wahab pada 17 Nov lalu ketika sidang media bersama Mohamad Agus.
Pada sidang media itu, Abdul Wahab mendakwa dia merupakan kambing hitam bagi memerangkap bekas orang atasannya itu untuk tujuan tertentu.
Kata Abdul Wahab, dia menerima arahan daripada seorang individu yang turut berkhidmat di dalam J-KOM dikenali sebagai ‘Mr H’ untuk berbuat demikian.
Abdul Wahab juga mendakwa audio pada klip video berkenaan disunting.
Bagaimanapun semalam Abdul Wahab yang hadir bersama peguamnya Faizal Abd Rahman, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.
Abdul Wahab turut mengakui dia tertekan dengan kontroversi yang membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.
Sementara itu, Razarudin berkata, Abdul Wahab tampil membuat laporan polis bagi melindungi diri selain menafikan terbabit dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Mohammad Agus.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kes ini dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan.
Leave a Reply