{VIDEO} “Waras sikit lah, sudahlah tidak bayar sewa” Lelaki mengamuk lepas menginap ‘free’ dihotel dikecam

TINDAKAN pelik seorang lelaki yang didakwa menginap secara percuma selama beberapa hari di sebuah hotel di Sandakan, Sabah mengundang kecaman warganet.

Malah, lelaki terbabit juga dilihat mengambil barangan hotel terbabit tanpa membuat sebarang pembayaran.

Berdasarkan video yang tular di laman sosial sejak Isnin, lelaki terbabit dilihat memasukkan banyak barangan hotel yang terdapat di lobi hotel ke dalam begnya yang berwarna merah.

Antara yang diambil adalah cawan, bekas plastik dan beberapa lagi barangan mewah milik hotel tersebut.

“Waras sikit lah, sudahlah tidak bayar sewa hotel, ambil pula barang-barang di hotel ini.

“Tidak malu ke, sudah besar pun bertindak macam ini,” kata salah seorang pekerja hotel dalam rakaman video tersebut.

Berdasarkan rakaman video itu, seorang housekeeping di hotel berkenaan yang dikenali sebagai Joseph Madais mendakwa, lelaki itu sudah menginap beberapa hari di hotel terbabit tanpa membayar duit penginapan.

Malah, ketika diberi peringatan dan nasihat, lelaki itu sebaliknya bertindak mengeluarkan kata-kata kasar kepada pekerja hotel.

“Kau siapa, jangan berlagak macam bos, sudahlah tidak bersihkan bilik hotel,” jerkah lelaki itu.

Menjengah ke ruangan komen di laman Facebook, rata-rata warganet mengecam tindakan lelaki itu yang tidak sopan.

“Wah, tiada rasa malu lelaki itu, semoga cepat sedar,” kata Juli.

“Sedih nampak orang macam ini, tidak tahu apa masalah dia,” tulis Ruandu Kalawon08.

“Wujud juga orang macam ini,” tulis Elvyam Schannel7826.

Maklumat mengenai tarikh sebenar kejadian tidak dapat dipastikan sementara masih belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian terbabit.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*