Makan rasuah bantu lulus ujian lesen memandu, 3 wanita ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan tiga wanita semalam yang dipercayai menerima rasuah membantu calon ujian berkomputer lesen memandu untuk lulus tahun ini.

Menurut sumber, dua wanita bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (Rilek) Cawangan Kota Tinggi dan seorang lagi bekerja sebagai kerani di sebuah pusat memandu.

Tambah sumber, ketiga-tiga wanita berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 9 malam tadi selepas satu operasi yang dijalankan hasil kerjasama sebuah syarikat konsesi untuk aplikasi utama kerajaan elektronik Malaysia.

Difahamkan kesemua suspek menerima wang berkenaan daripada calon-calon peserta yang menghadiri ujian Bahagian 1 Berkomputer Lesen Memandu untuk membantu mereka lulus dalam ujian tersebut.

“Siasatan kini masih dijalankan, dijangka akan ada penahanan lain bagi membantu siasatan,” kata sumber itu hari ini.

Ketiga-tiga mereka akan dilepaskan dengan jaminan SPRM, tambahnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*