{VIDEO} Tiga lori lawan arus berdepan tindakan

Tiga lori lawan arus berdepan tindakan. Tular visual beberapa buah lori yang didakwa melawan arus di jajaran Pan Borneo Julau -Sarikei menarik perhatian warga net hari ini.

Visual berdurasi 1.56 saat itu turut muat turun dalam satu hantaran Unit Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melalui laman rasmi mereka, sebelum mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Perbuatan itu juga didakwa amat merbahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain dan boleh mengakibatkan kemalangan maut.

“Kita mahu semua pengguna Lebuhraya Pan Borneo mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Sayangi nyawa anda dan ambil kira keselamatan orang lain serta orang yang mereka sayangi,” kata hantaran berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, polis telah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.

Polis katanya, akan melakukan tindakan susulan melalui operasi yang akan dijalankan Jalan Kanowit Julau Durin (KJD) minggu ini.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas. Justeru, jangan bersikap sambil lewa atau mengambil mudah, kerana perbuatan itu (melawan arus) membahayakan nyawa orang lain,” tegasnya.

Difahamkan, Pegawai Trafik Perunding Pengurusan Projek (PMC) tampil membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*