{VIDEO} Sahut cabaran Ismail Sabri, Zahid sedia dedah surat RoS

UMNO sedia mendedahkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk membuktikan badan itu menerima usul dibuat ketika Persidangan Agung UMNO (PAU) lalu berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan.

Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyusul selepas cabaran dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Beliau berkata, pendedahan surat itu kelak diharap dapat memberhentikan segala isu yang timbul berkaitannya dan mengesahkan bahawa tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

“Semalam saya sudah nyatakan di Pulau Pinang (bahawa RoS menerima usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO).

“Saya akan minta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerbitkan salinan diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan surat dikeluarkan RoS adalah kepada pihak peguam,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pengenalan Calon-Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk EXCO Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di Bangunan Tunku, di sini, .

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, Ismail Sabri meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ia susulan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan PAU 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan surat bakal mengukuhkan peranan PAU sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan bagi UMNO.

“(Surat) itu adalah satu tanda noktah bahawa PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO, kita sudah ikut peraturan dan Perlembagaan juga dipatuhi sepenuhnya dalam memberi kelulusan usul kelapan dalam pembentangan yang dibuat.

“Ini akan menjadi tanda penamat (kepada konflik yang berlaku), kita akan tutup buku isu mengenainya selepas ini,” katanya.

Terdahulu di Pulau Pinang malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada KDN yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN kelmarin.

Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi Perlembagaannya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*