{VIDEO} Rebah ketika perbarisan Merdeka 2023, anggota RELA meninggal dunia

Rebah ketika perbarisan Merdeka 2023, anggota RELA meninggal dunia.

Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 10 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 06-6033222.

Dalam pada itu, Pengarah RELA Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Kanan Muhammad Faiz Musa menyifatkan pemergian anggota tersebut, Muhammad Noh Muhammad Isa, yang telah berkhidmat selama 13 tahun sebagai kehilangan besar kepada pasukan berkenaan.

“Allahyarham ditugaskan sebagai ketua perbarisan untuk kontinjen RELA negeri. Allahyarham yang juga Ketua Jurulatih Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) Politeknik Nilai di sini dikenali dengan sifat yang suka membantu terutama dalam hal berkaitan kejurulatihan kawad kaki selain penugasan anggota.

“Bukan sahaja di RELA, malah Allahyarham juga sering membantu agensi-agensi lain yang memerlukan latihan kawad kaki, saya difahamkanAllahyarha m sihat dan bersemangat. Allahyarham juga tidak pernah ketinggalan setiap kali ada perbarisan Hari Kebangsaan,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, RELA akan turut membantu dengan menyalurkan sumbangan khairat kematian kepada keluarga Muhammad Noh yang bertugas sebagai penyelia di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Sembilan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*