KEJADIAN puting beliung dengan skala besar direkodkan berlaku di kawasan Jawa Barat, Indonesia pada Rabu.
Menurut pegawai kerajaan Indonesia, kejadian itu mencederakan sekurang-kurangnya 33 orang serta memusnahkan puluhan bangunan termasuk rumah penduduk.
Menerusi video tular sejak Khamis, puting beliung itu berlaku selepas angin kencang yang melanda bandar Sumedang di wilayah Jawa Barat.
PUTING BELIUNG
RANCAEKEK KAB.BANDUNG pic.twitter.com/zijH0JZHpJ— JACKMOON (@MamunMu98291791) February 21, 2024
Dalam video tersebut, kelihatan juga serpihan bumbung rumah berterbangan di udara ketika kejadian itu.
Pada masa sama, penduduk ketika itu dilihat panik dan kedengaran suara jeritan ketika puting beliung melanda.
Pakar Klimatologi di Agensi Penyelidikan kerajaan BRIN, Erma Yulihastin dilaporkan berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan penyiasat insiden puting beliung itu.
Katanya, kejadian itu turut dikatakan sama dengan jenis ribut yang kerap berlaku di hemisfera utara.
Kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan cedera ringan dan tiada kematian direkodkan setakat ini.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, salah seorang penduduk Sumedang, Kay Tiara meluahkan rasa takutnya ketika berdepan detik cemas itu.
“Ayah saya sedang duduk di rumah kami dan tiba-tiba dia ternampak plastik berterbangan dan berpusing. Tak lama selepas itu, angin kuat membadai rumah.
“Akibatnya, bumbung rumah saya diterbangkan. Saya dan keluarga berlindung di dalam rumah,” katanya.
Timbalan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Guswanto dilaporkan berkata, puting beliung boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.
“Fenomena puting beliung secara amnya lebih kerap berlaku semasa peralihan musim dan tidak menolak kemungkinan ia turut berlaku ketika musim hujan,” katanya.
Dalam pada itu di media sosial tempatan, ada warganet menyangka puting beliung itu berlaku di Ipoh, Perak rentetan waktu kejadian yang hampir sama pada awal 2022.
Turut baca :
Leave a Reply