DUA lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dihempap bongkah batu ‘gergasi’ di sebuah lebuh raya di Peru pada Isnin lalu.
Difahamkan, tragedi malang yang berlaku di Huarochiri itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain yang berada di tempat kejadian.
Memetik laporan media antarabangsa, dalam insiden ngeri itu kesemua mangsa menaiki sebuah Toyota Hilux yang didaftarkan di bawah syarikat Jungle Fresh Organic SAC.
Difahamkan, pemandu tersebut sedang memberhentikan di lereng bukit sebelum bongkah batu tersebut tiba-tiba jatuh dari atas lalu menghempap kenderaan mangsa sekali gus mengakibatkan kenderaan itu terbalik di tengah jalan.
Pemandu yang cedera parah berjaya diselamatkan oleh anggota polis dari Jabatan Lebuhraya Chicla dan segera dikejarkan ke Hospital Matucana untuk rawatan lanjut.
Ngeri bagai Final Destination, 2 maut, rakan parah kenderaan dihempap bongkah batu gergasi di Peruhttps://t.co/ba2VyVuhFE pic.twitter.com/MhxO7MKOxw
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 5, 2024
Sementara itu, dua lagi rakannya yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa. Antara barang yang ditemui dalam kenderaan adalah dokumen yang dipercayai milik mereka, termasuk dokumen pengenalan diri asing dalam tulisan Cina atas nama Zheng Jin Tao dan lesen memandu Peru atas nama Hsin Hui Chiu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kemalangan itu berlaku ketika kawasan tersebut dilanda hujan lebat dan banjir kilat sekali gus meningkatkan risiko batu-batu jatuh dari bukit.
Pihak berkuasa mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berisiko tinggi ini, terutama dalam keadaan cuaca buruk.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk memahami punca sebenar kejadian.
Terdahulu, tular satu video pada Khamis memaparkan sebuah kejadian bongkah batu menghempap kenderaan di Peru yang mengorbankan dua warga China.
Baca juga :
Leave a Reply