{VIDEO} KPN : Anggota terlibat salah laku diminta ‘berambus’

Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberitahu anggotanya yang tidak mematuhi peraturan dan terlibat kes salah laku “berambus” daripada pasukan keselamatan itu.

Sambil memetik slogan sering diulang bahawa “polis dan masyarakat berpisah tiada”, Razarudin melahirkan kekesalan kerana ada dalam kalangan anggotanya terbabit “satu atau dua” kes salah laku.

“Sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu seolah-olah polis raja di Malaysia, no way. Sekarang misi dan visi kita dengan logo tangan bersalaman dan logo amalan anti rasuah, slogan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ semua ada, memang kita bekerja untuk masyarakat.

“Tetapi seolah-olah apa yang berlaku iaitu satu atau dua kes ini seolah-olah menyusahkan masyarakat, memang terlihat menyusahkan masyarakat dan apa yang kita pakai pada seragam polis ini seolah-olah macam tak betul.

“Patutnya tanggalkan semua logo-logo yang ada pada seragam itu kemudian berambuslah sekali, janganlah lepas tanggal masih ada lagi dalam pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat ketua polis negara pada perjumpaan khas bersama kepimpinan PDRM dan ketua polis daerah Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Cheras, malam tadi.

Razarudin juga mengarahkan semua ketua polis negeri untuk memaklumkan terus kepada beliau sekiranya mendapat maklumat daripada ketua daerah berkaitan kesalahan yang membabitkan pegawai ataupun anggota pasukan itu.

“Setiap pegawai atasan atau penyelia-penyelia harus mengambil tanggungjawab dalam memastikan penyelia di bawahnya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan termasuk memeriksa pegawai dan anggota, melihat segala kelemahan dari semua segi,” katanya.

Baru-baru ini tiga anggota polis trafik IPK Perak direman akibat menawarkan diskaun saman kepada warga United Kingdom.

Anggota berkenaan disiasat selepas satu video yang dirakam pasangan pelancong warga UK tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 50 saat, pasangan itu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju namun, polis terbabit memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di situ.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*