{VIDEO} KPDN perkenal ‘Rezeki Suri’, bantu suri rumah jana pendapatan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperkenalkan program Rezeki Suri, yang membolehkan suri rumah menjual 11 barangan asas dengan bekalan terus daripada pengilang.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata program itu bertujuan memperkasa ekonomi suri rumah daripada golongan B40 sekali gus menjadi punca pendapatan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Katanya, langkah itu juga akan memutuskan tiga hingga empat lapisan orang tengah sekali gus menjadikan barangan asas yang dijual pada kadar harga lebih murah kepada golongan sasar B40.

“Saya amat tertarik dengan langkah Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) yang memperkenalkan program ‘Nano Retailer’ atau usahawan mikro bagi memperkasa ekonomi golongan B40 negara kita.

“Ia memberi idea untuk KPDN perkenalkan program Rezeki Suri dengan konsep yang hampir sama, bagi membolehkan golongan suri rumah menjual 11 barangan asas yang kita bantu yang dapatkan bekalan terus daripada pengilang.

“Menerusi program Rezeki Suri ini, suri rumah akan jual 11 barangan asas keperluan antaranya adalah beras, tepung, gula, susu, minyak masak, telur dan mungkin biskut dan barangan kering lain.

“Kita akan cuba buat projek rintis dahulu di setiap negeri yang dimulakan dengan beberapa lokasi dan ia akan dipantau rapi. Jika ia dapat sambutan menggalakkan, KPDN akan lancarkan di tempat lain dengan meluas,” katanya.

    SALAHUDDIN Ayub menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Ketua Bahagian Urus Niaga Perbankan Korporat Affin Bank, Saiful Rizal Abdul Rasid (kiri) dengan Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Adli Harith Mahyuddin (kanan) pada Majlis Temu Rapat DPIM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis temu rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din.

Ditanya bila program Rezeki Suri akan dimulakan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau berharap ia akan dimulakan dalam masa terdekat atau sebelum 100 hari beliau dilantik menjadi Menteri KPDN.

“Saya akan segera panggil DPIM ke pejabat di KPDN minggu depan untuk kita bincang program Rezeki Suri di peringkat kementerian. Walaupun idea ini masih di peringkat awal, saya sangat teruja dengan program ini.

“Insya-Allah, saya harap dalam masa terdekat atau mungkin dalam masa sebelum 100 hari saya masuk ke pejabat KPDN, antara program yang dapat dijayakan adalah Rezeki Suri ini dapat dijadikan produk baharu kementerian sekali gus memperkasa ekonomi suri rumah dan memudahkan golongan B40 mendapatkan barangan asas pada harga murah,” katanya.

Salahuddin berkata, program Rezeki Suri itu adalah konsep sama yang diperkenalkan pakar ekonomi Bangladesh, Dr Muhammad Yunus yang mewujudkan Grameen Bank pada 1976 di negara berkenaan.

Katanya, ia memperkasa usahawan kecil dan miskin terutama wanita di Bangladesh dengan memberikan mereka peluang ekonomi.

“Inisiatif Dr Muhammad Yunus itu terbukti berjaya memperkasakan usahawan wanita kecil di Bangladesh dengan pinjaman yang diberikan mampu mengubah nasib mereka selain golongan wanita di sana tiada masalah membayar semula.

“Di negara kita pun golongan wanita terbukti tiada masalah membayar pinjaman mikro yang diberikan termasuk menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) malah data Bank Negara juga membuktikan wanita antara yang berdisiplin membayar pinjaman mikro. Jadi kita boleh buat program sebegini di Malaysia untuk perkasa golongan suri rumah,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*