{VIDEO} ‘Kerana mulut badan binasa…’ Penyokong Penang dan Kedah bergaduh

PERLAWANAN Liga Super antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dicemari insiden pergaduhan antara kedua-dua kumpulan penyokong selepas perlawanan berakhir pada Selasa.

Kejadian berlaku di luar stadium dipercayai berpunca disebabkan provokasi antara kedua-dua pihak sebelum berlaku insiden tolak menolak antara mereka.

Insiden pergaduhan yang dirakam orang awam itu berlaku di luar pekarangan stadium sejurus perlawanan tamat, kira-kira pukul 11 malam.

Dalam satu video tular kumpulan penyokong berpakaian serba hitam yang dipercayai casual Kedah dan Penang didakwa mengeluarkan kata-kata provokasi sebelum berlaku pergaduhan tercetus.

Menerusi komen di media sosial, orang ramai berpendapat keputusan pengadil dikatakan punca tercetusnya ketegangan penyokong kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan itu, pengadil bertindak membatalkan gol kedua yang diledakkan kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

Selain itu, pemain pertahanan Harimau Kumbang, Muhammad Adib Abdul Ra’op turut dilayangkan kad kuning yang kedua sekali gus diarah keluar padang pada minit ke-76.

Skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya menjinakkan Penang FC 2-1 dalam aksi derbi utara yang berlangsung penuh hangat.

Fadzrul Danel membuka akaun jaringan untuk Kedah pada minit ke-7 sebelum pemain kelahiran Lubanan, Soony Saad menyamakan kedudukan di minit ke-32.

Tendangan dari luar kotak penalti Moses Atede pada minit ke-96 menambah duka pasukan Penang sekali gus memberi kemenangan buat pasukan Sang Kenari.

Ia sekali gus menjadikan kemenangan kelima berturut-turut Kedah dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*