Khidmat seks melalui WeChat, penjawat awam antara 8 wanita ditahan

Seorang wanita yang mendakwa penjawat awam di negara jiran antara lapan wanita warga asing yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan melalui aplikasi WeChat.

Menerusi tempahan dilakukan menggunakan aplikasi itu, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran antara RM150 hingga RM250.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata taktik wanita itu terbongkar menerusi tujuh serbuan antara jam 6 petang hingga 10 malam di beberapa premis hotel bajet, rumah tumpangan dan pangsapuri di sekitar daerah Timur Laut, Jumaat lalu.

“Menerusi operasi itu, lapan wanita warga asing berusia 25 hingga 47 tahun ditahan, termasuk wang tunai RM2,200 yang dirampas.

“Siasatan awal mendapati, semua yang ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan mereka mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat serta mengenakan bayaran perkhidmatan seks antara RM150 hingga RM250,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan mengenai serbuan itu tular di media sosial yang mendakwa seorang daripada wanita terbabit berstatus isteri kepada pegawai penjawat awam berpangkat besar di luar negara.

Soffian berkata, siasatan mendapati seorang daripada wanita yang ditahan mengaku sebagai penjawat awam di sebuah negara jiran.

“Wanita itu mendakwa datang ke negara ini bagi menjalankan aktiviti persundalan untuk memperoleh pendapatan tambahan.

“Semua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*