{VIDEO} Kecoh! Dua individu berkereta dikejar beberapa penunggang motosikal – katanya tak bayar cendol

SEBUAH kereta jenis Nissan Almera dikejar beberapa penunggang motosikal selepas dikatakan lari daripada membayar cendol di Batu Caves, Gombak, Selangor pada Rabu.

Insiden terbabit difahamkan bermula dari Batu Caves kemudian ke Batu Muda, DUKE, Taman Selasih Fasa 2, Taman Samudera sehinggalah ke MRR2 Batu Caves yang menyaksikan sekumpulan penunggang cuba untuk menahan pemandu berkenaan.

Cuba meloloskan diri, beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan apabila dirempuh pemandu terbabit yang dirakam bergerak melawan arus di laluan tersebut, selain bumper belakang Nissan Almera itu juga dilihat tercabut.

 

Rakaman berdurasi dua minit 55 saat itu tular di laman media dan meraih lebih 10,000 jumlah tontonan.

Berdasarkan komen di media sosial, rata-ratanya mendakwa kesemua suspek bertindak sedemikian kerana tidak membayar minuman cendol yang dipesan di sebuah premis, namun punca sebenar kejadian masih belum diketahui.

Kekecohan itu akhirnya tamat dengan pemandu berkenaan menghentikan keretanya di sebuah jalan yang sekali gus menyaksikan beberapa penunggang mengepung dan merampas kunci kenderaan tersebut.

Difahamkan, terdapat dua individu di dalam kereta itu dan kedua-duanya dikatakan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Namun, sehingga kini masih belum ada kenyataan polis berhubung perkara itu dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*