KOTA TINGGI – Seorang imam maut selepas kereta Nissan Sentra dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah van yang membawa anak-anak yatim dalam kejadian berlaku di Jalan Kluang-Bandar Tenggara berhampiran Felda Sungai Sayong petang semalam.
Mangsa, Aminudin Sanusi, 54 maut di lokasi kejadian manakala 11 orang yang menaiki van Kia Pregio dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Bandar Tenggara (PEYARA) alami cedera ringan.
Mereka yang cedera terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, empat remaja lelaki berusia 14 tahun, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, tiga remaja perempuan berusia 15 tahun serta pemandu berusia 41 tahun.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan II Awang Ismail Awang Hanafi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 6.37 petang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian MERS999 kemalangan melibatkan dua kenderaan. Ekoran itu sebuah jentera dari BBP Bandar Tenggara dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta Nissan Sentra dan sebuah van Kia Pregio yang membawa anak-anak yatim PEYARA. Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kereta telah tersepit. PKO bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
- Turut baca : “Lepaskan… dia kecil je” Pengawal keselamatan lanyak rider, pelanggan wanita rayu henti bergaduh
Katanya pegawai perubatan kemudian mengesahkan pemandu kereta telah meninggal dunia manakala kesemua mangsa di dalam van dihantar ke Hospital Kulai menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 8.31 malam tadi.
Leave a Reply