{VIDEO} Cadang pusat pelacuran : “Tak sangka benda ini jadi viral…” Apa hal pun saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku

Susulan kenyataan kontroversi dibuat selebriti terkenal, Datuk Rosyam Nor, 57, berhubung pembinaan pusat pelacuran yang perlu diwujudkan di negara ini, beliau tampil membuat permohonan maaf pada Selasa.

Rosyam berkata, dia tidak menyangka kenyataan itu akan menjadi tular sehingga disalah anggap dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk agamawan.

“Kecoh satu dua hari ini pasal isu rumah pelacuran kononnya saya ada buat kenyataan. Apa-apa hal pun saya minta maaf dulu sebab tak sangka benda ini akan jadi viral,” katanya menerusi hantaran di Instagram, pada Selasa.

Dalam masa sama, Rosyam menyeru orang ramai untuk menonton video penuh yang dimuatnaik di TikTok Suhan Channel dan membuat penilaian sewajarnya.

“Tapi itu sebenarnya untuk program podcast aku dekat Suhan Channel. Itu adalah perbincangan, jadi saya rasa baik semua orang kalau ada masa pergi ke Suhan Channel tengok keseluruhan video apa yang dibincangkan.

“Terima kasih kerana peka dengan keadaan, sekali lagi saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Rosyam menerusi podcast ‘Hitam Putih Kehidupan’ yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel menyifatkan pusat pelacuran perlu diwujudkan sebagai ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

Rosyam berkata, perkara itu akan menjurus kepada perlakuan jenayah seperti rogol dan sebagainya.

Bagaimanapun, Rosyam menegaskan itu hanya pandangan peribadi dan meminta penonton untuk menilai sendiri.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri menganggap bahawa cadangan itu seperti merendahkan martabat wanita.

Turut baca :

Nancy berkata, wanita berhak menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada itu serta berpendapat bahawa cadangan meletakkan wanita sebagai ‘alat’ untuk menyelesaikan masalah sosial adalah merendahkan martabat kaum wanita.

“Sebagai individu yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memberi fokus terhadap usaha-usaha memperkasa wanita.

“Ia sekali gus mengarusperdanakan jantina melalui pelbagai program bagi meningkatkan penglibatan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.

“Ini termasuklah membantu kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan wanita mempunyai peluang yang adil untuk mendapat tempat serta memiliki kerjaya yang baik dan bermaruah, sama seperti peluang yang dimiliki oleh kaum lelaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*