Berang kerana bunyikan hon, lelaki disembur serbuk pemedih mata, dibelasah dengan topi keledar. Hanya kerana bunyikan hon, lelaki disembur serbuk pemedih mata, dibelasah dengan topi keledar. Seorang lelaki disembur dengan serbuk pemedih mata, dipukul dengan menggunakan topi keledar selain keretanya dirosakkan hanya kerena perselisihan faham membunyikan hon tanpa sengaja.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di hadapan sebuah pasar raya di Taman Setia Indah, di sini, mangsa mengalami kecederaaan pada bahagian kepala, bibir, leher, tangan kanan dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berpunca setelah mangsa berusia 24 tahun berselisih faham dengan penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Suspek lelaki tempatan itu menyembur serbuk pemedih mata ke arah mata mangsa, memukul kepalanya menggunakan topi keledar dan memecahkan cermin kereta bahagian hadapan.
“Kemudian mangsa didatangi empat lelaki warga tempatan yang tidak dikenali disyaki kawan kepada suspek menaiki sebuah Toyota Hilux berwarna hitam terus memecahkan cermin bahagian belakang, cermin pintu sebelah kanan dan kiri serta bonet kereta menggunakan dua batang besi panjang. Mangsa tampil membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada pukul 1.55 petang,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan kejadian tersebut menyaksikan lima individu yang juga suspek kes berkenaan merosakkan sebuah kereta.
Video berdurasi tujuh saat itu dimuat naik oleh sebuah laman sosial Facebook Community Roda Johor (CRJ).
Raub memberitahu, pihaknya telah menerima maklumat mengenai video yang tular dalam media sosial pada pukul 4.31 petang dan sedang mengesan lima suspek lelaki warga tempatan berkenaan yang terlibat dalam kes itu bagi membantu siasatan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Turut baca :
Leave a Reply