KUANTAN – Seorang bayi lelaki yang masih mempunyai kesan darah tanpa tali pusat ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan dihurung kerengga di bawah sebatang pokok berhampiran sebuah rumah di Kampung Peramu Tanjung Lumpur semalam.
Saksi kejadian, Norhazilawati Nasron, 31, berkata, kejadian terbabit disedarinya selepas dia dimaklumkan oleh jirannya yang dikenali Mok Ti kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
“Apabila keluar rumah saya nampak orang ramai dan dia (Mok Ti) sudah angkat, selamatkan dan selimutkan bayi dengan kain batik. Kami tidak sedar bila bayi ini ditinggalkan, tetapi kesan darah sudah kering pada tangan, tali pusat juga sudah digunting.
“Saya lihat kerengga hinggap kepala bayi itu dan ada kesan gigitan pada badan. Tiada sebarang dokumen ditemui pada bayi berkenaan dan penduduk menghubungi polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut beliau, bedasarkan pemeriksaan, doktor menganggarkan bayi tersebut dilahirkan kurang tiga jam sebelum ia ditemui oleh orang awam.
“Siasatan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kilang Ocean Fresh Seafood Peramu Kuantan, tetapi CCTV tidak menghala ke tempat bayi lelaki yang dijumpai.
“Siasatan lanjut mendapati berkemungkinan suspek telah melahirkan bayi di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi tersebut di tempat kejadian pada awal pagi,” katanya.
Leave a Reply