{VIDEO} ‘Ayahanda’ tunjuk taiko, kutip duit di projek pembinaan dikecam

KECOH di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor apabila seorang lelaki dikatakan berpelakuan samseng dengan memungut wang perlindungan serta bayaran cukai bagi setiap projek pembinaan yang dijalankan di kawasan itu.

Menggelar dirinya sebagai ‘Ayahanda’, individu terbabit dirakam sedang giat mengutip bayaran pada pekerja pembinaan di lokasi terbabit pada Khamis.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook, lelaki itu difahamkan kerap mengganggu projek di sekitar Saujana Putra dan sekiranya ada pihak berani ingkar arahannya akan dikenakan tindakan keras.

“Ayahanda Saujana Putra, datang kacau projek orang pau macam tak ada kerja, semua projek di sini kena melalui dia.

“Kalau tak bagi duit dia nak bakar mesin kita, siapa kenal?

“Dia kenalkan diri dia sebagai Paduka Ayahanda Boy, penjaga kawasan sini dan selalu mengugut kontraktor untuk bayaran,” ujar perkongsian itu.

Dalam pada itu, di ruangan komen rata-ratanya mengecam perbuatan individu berkenaan dengan segelintir daripadanya ingin melaporkan perkara itu ke pihak polis.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*