{VIDEO} “Attar nak tinggal dengan ibu ayah dekat syurga sekali…” Budak sebak hilang 4 sekeluarga serentak nahas Kuala Krai

SUASANA di masjid diselubungi rasa hiba selepas satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas mengorbankan kedua ibu bapa serta dua adik-beradiknya di Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu tidak dapat menahan air mata kesedihan.

Menerusi video dimuat naik pada Ahad di Facebook Mat Jenazah, kelihatan Attar Azim Syukran Jamil, 9, menangis teresak-esak ditemani datuk dan neneknya di pekarangan masjid di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak.

Pada masa sama, anak sulung pasangan yang maut dalam nahas itu tidak dapat menahan kesedihannya sambil mendoakan keluarganya.

“Attar nak tinggal dengan ibu ayah dekat syurga sekali, nak hidup sama-sama dengan abah dengan semua orang.

“Tapi abah dan semua orang dah tinggalkan Attar dulu,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian pada pukul 1.40 petang Sabtu, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki Attar Azim bersama empat ahli keluarga lain bertembung dengan kereta Nissan March dipandu lelaki warga Thailand berusia 39 tahun yang memasuki laluan bertentangan.

Nahas tersebut mengakibatkan bapa kanak-kanak terbabit, Syukran Jamil Ab. Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun serta bayi mereka, Lufya Adeena berusia setahun maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi anak pasangan itu, Ahya Rafiqi, 6, pula disahkan meninggal dunia pada 3.15 petang pada hari yang sama (Sabtu) ketika dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Video kemalangan itu turut tular di media sosial sejak Sabtu dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

“Ya ALLAH, kesiannya Attar,” komen Asmara Qaseh Qaseh.

“Salam takziah buat adik moga ALLAh bagi kekuatan untuk adik,” tulis Aida Rahman.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*