{VIDEO} Ambulans terbalik, ibu dan anak tersepit di kerusi duduk

Empat individu termasuk pesakit yang dibawa dalam ambulans St. John cedera selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan serta sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Masjid Negeri, di George Town semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt V.Saravanan berkata kemalangan berlaku pada pukul 4.40 petang itu semasa pemandu ambulans dan seorang pembantu pegawai perubatan, masing-masing berumur 22 dan 28 tahun, sedang dalam perjalanan dari Sungai Ara, dekat George Town selepas mengambil seorang pesakit wanita dan anak perempuannya untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sebaik sampai di Jalan Masjid Negeri, menghala ke Jalan Scotland, pemandu ambulans dipercayai hilang kawalan, menyebabkan ambulans terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta sebatang pokok di sebelah kanan jalan, lalu terbalik.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans, pesakit yang berusia 54 tahun dan anak perempuannya berumur 24 tahun tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pemandu ambulans itu mengalami kecederaan di tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan di muka dan tangan.

“Pesakit pula mengalami kecederaan di kepala manakala anak perempuannya pula cedera di kepala dan muka. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*