Video amaran 13 Mei, pengurusan TikTok dipanggil beri penjelasan

Video amaran 13 Mei, pengurusan TikTok dipanggil beri penjelasan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta polis memanggil pihak pengurusan TikTok untuk segera memberi penjelasan berhubung tiga klip video yang memberi amaran rusuhan kaum 13 Mei 1969 mungkin berulang.

SKMM berkata, syarikat media sosial itu dipanggil susulan laporan sebuah portal berita mendedahkan tiga kip video terbabit, yang merupakan kandungan berbayar.

Katanya, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian dan prejudis adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

“Penyebaran kandungan video sedemikian merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan agama dan kaum,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, SKMM dan polis akan meningkatkan usaha dalam mengekang penyebaran video yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

SKMM menasihatkan orang ramai tidak berkongsi dan menyebarkan klip video terbabit.

SKMM tidak menamakan portal berita itu, tetapi Malaysiakini hari ini memetik jurucakap TikTok sebagai berkata, platform itu tidak dapat mengesahkan jika video berkenaan ditaja ahli politik.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, polis mengesan pelbagai bentuk kandungan menyentuh sensitiviti kaum dan agama di media sosial selepas pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov lalu.

Beliau mengingatkan pengguna media sosial tidak menyalahgunakan platform sedemikian untuk menyebarkan kandungan menghasut yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba mengancam keselamatan atau mengganggu ketenteraman awam, termasuk menggunakan Akta Hasutan.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan TikTok sebagai berkata, ia dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kandungan melanggar garis panduannya.

Katanya, klip video dengan kandungan berkaitan 13 Mei yang melanggar garis panduan komunitinya sudah dipadamkan kerana ia tidak bertoleransi terhadap sebarang kenyataan berbaur kebencian dan ekstremisme.

TikTok bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kandungan dipadamkan atau aduan yang diterimanya.

Turut baca :

Video amaran 13 Mei, pengurusan TikTok dipanggil beri penjelasan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*