{VIDEO} Aksi perlawanan adik, abang dicemari insiden pergaduhan

Aksi perlawanan adik, abang dicemari insiden pergaduhan. Kelantan FC terlepas peluang menutup saingan Liga Perdana dengan kemenangan selepas diikat seteru setempat, Kelantan United 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Keputusan itu mengesahkan Kelantan FC dinobatkan sebagai naib juara Liga Perdana musim ini.

Beraksi di atas padang becak akibat hujan lebat, kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan sebaik wisel permainan ditiup oleh pengadil bertugas.

Kelantan FC yang beraksi sebagai pelawat membuka tirai pada minit ke-36 menerusi peledak sensasi Nur Shamil Abd. Ghani yang tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Gol penyamaan yang ditunggu tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-54 melalui jaringan Mohamad Amirul Shafik Che Soh menghukum kealpaan barisan pertahanan The Red Warriors (TRW).

Aksi ‘Kelantan Derby’ dicemari insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasukan.

Kejadian berlaku pada masa kecederaan di separuh masa kedua selepas penyerang Kelantan United, Njoku Jacob dijatuhkan di kawasan tengah padang.

Percakaran itu menyebabkan perlawanan tergendala sekitar 10 minit apabila pemain serta pasukan kejurulatihan kedua-dua pasukan menyerbu masuk padang.

Pemain tengah tuan rumah, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhaimin Izuddin Muhammad Asri dilayangkan kad merah semasa insiden pergaduhan itu.

Bagaimanapun aksi tegang itu dapat ditenangkan oleh pegawai perlawanan, Zulkarnain Zakaria dan perlawanan berakhir seri 1-1.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*