KUBANG PASU: Sekurang-kurangnya 10 rumah rosak teruk selepas dilanda ribut dan belalai air di Kampung Pida 2, Manggol Bongor, di sini semalam.
Seorang penduduk yang juga pengusaha bengkel, Marwan Kassim, 40, berkata, kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu berlaku ketika dia sedang membaiki sebuah lori.
“Saya tiba-tiba ternampak kepulan angin membentuk seperti belalai. Pusaran angin itu kemudian menerbangkan bumbung rumah penduduk satu persatu ke udara.
“Ini kali pertama saya tengok belalai air dan saya tergamam… ia berlaku di depan mata saya. Saya sempat merakam video kejadian itu sebelum pusaran angin itu menghala ke arah bengkel saya.
“Saya kemudian lari menyelamatkan diri ke dalam rumah,” katanya.
Menurut Marwan, bengkel dan rumahnya yang terletak bersebelahan turut terjejas apabila beberapa peralatan mengalami kerosakan selain peti sejuk dan mesin basuh.
Katanya kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian kira-kira RM40,000.
Namun katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.
- Turut baca : {VIDEO} Berang disuruh alih kenderaan, pemandu lori sampah cedera dipukul kerana bunyikan hon
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri Kedah, Khalil Abd Aziz berkata, corak cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan fenomena sedemikian termasuk ribut dan puting beliung boleh berlaku.
Beliau berkata fenomena seumpama itu berkemungkinan boleh berlaku lagi dalam tempoh peralihan monsun yang berterusan dari September hingga November.
“Kemungkinan ini berlaku disebabkan oleh corak cuaca emasa perubahan monsun menyebabkan langit cerah pada waktu pagi, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga malam,” katanya lagi.
Leave a Reply