{VIDEO} 10 Ahli Parlimen ‘khianat UMNO’ sokong Muhyiddin kian tersepit

Sepuluh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kini tersepit susulan langkah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan secara terbuka tindakan mereka menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15, kata penganalisis.

Dalam ucapan berapi kepada perwakilan sebelum Persidangan Agung Umno (PAU) malam tadi, Zahid yang juga pengerusi BN mengenal pasti 10 Ahli Parlimen itu membelakangi gabungan berkenaan selepas menandatangani SD menyokong Muhyiddin, pengerusi Perikatan Nasional (PN), susulan Parlimen tergantung.

James Chin, profesor Kajian Asia daripada University of Tasmania berkata, Zahid secara efektif menolak spekulasi sebelum ini beliau akan menggunakan PAU untuk merapatkan saf demi kesatuan parti apabila bertindak “mendedahkan nama musuh politiknya secara terbuka”.

Dengan kedudukan Zahid menjadi taruhan menjelang pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum 19 Mei, beliau pastinya memilih masa paling sempurna untuk masuk ke medan tempur, kata Chin kepada FMT.

“Secara politik, jelas gerakan sudah dilaksanakan bagi pihaknya. Kita sedia maklum berlakunya perpecahan dalam BN sebelum pembentukan kerajaan, tetapi kita tiada perincian siapa terlibat,” katanya.

“Sekarang, beliau menggunakan pengumuman itu untuk mereka pula menyatakan pendirian sama ada kumpulan itu percaya langkah menyokong Anwar (Ibrahim) suatu kesilapan atau tidak.

“Helahnya bukan pendirian mereka, namun sama ada mereka mempunyai momentum untuk mencabarnya. PAU adalah persediaan bagi pemilihan parti dan sekiranya perwakilan menyerangnya, beliau tahu wujudnya muslihat.”

Zahid dikritik susulan prestasi buruk BN pada PRU15 dan berdepan desakan meletak jawatan selepas gabungan yang dulunya gah mendominasi politik negara hanya menang 30 kerusi sahaja – 26 daripadanya oleh Umno. Sebaliknya, dua gabungan besar lain, PH dan PN masing-masing menguasai 82 dan 74 kerusi.

Atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, BN bersetuju membentuk kerajaan hari ini dengan musuhnya, PH dan gabungan dari Malaysia Timur, tindakan yang mengundang bantahan sesetengah pihak dalam BN sendiri.

Selepas ucapan Zahid, semalam, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dalam hantaran di Facebook, menyatakan Zahid berjanji kepada perwakilan beliau akan menjalankan “pembersihan penuh” supaya Umno bersih daripada anasir “baling batu sembunyi tangan”.

Malam tadi, Puad memberitahu FMT, Zahid memaklumkan kepada perwakilan enam daripada 10 Ahli Parlimen itu daripada Umno – Hishammuddin Hussein (Sembrong), Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Jalaluddin Alias (Jelebu), Isam Isa (Tampin), Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah) dan Abdul Rahman Mohamad (Lipis).

Empat Ahli Parlimen lain termasuk wakil MCA, Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), M Saravanan (Tapah) daripada MIC dan Arthur Joseph Kurup (Pensiangan) daripada PBRS.

Mengulas pendedahan itu, Felo Kanan Majlis Profesor Jeniri Amir menyifatkannya sebagai “tindakan drastik” yang perlu diambil Zahid untuk membersihkan Umno. Katanya, sangat penting Zahid menghantar “mesej sangat jelas” kepada kira-kira 3,000 perwakilan.

“Ini satu-satunya jalan ke depan demi memastikan parti benar-benar bersih daripada pengkhianat, mereka yang tidak setia dan tidak patuh kepada keputusan parti,” katanya kepada FMT.

“Zahid mendedahkan identiti mereka supaya ahli mengetahui merekalah yang membawa bahaya kepada parti dan menggugat kedudukannya.”

Melangkah ke hadapan, Jeniri berkata, Zahid perlu menggunakan PAU sebagai peluang untuk berkomunikasi dengan jelas kepada perwakilan berhubung keputusan Umno membentuk kerjasama dengan PH.

“Inilah platform terbaik baginya menjelaskan kepada akar umbi. Jika beliau tidak berbuat demikian, akan berlaku banyak perbincangan berdasarkan perkara tidak berasaskan fakta,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*