Ubah wang haram, anak bekas PM disiasat SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil anak lelaki kepada seorang bekas perdana menteri berhubung satu lagi siasatan.

Sumber berkata, lelaki itu yang hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi semalam disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Beliau dipanggil lagi hari ini bagi siasatan lain,” kata sumber menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 billion, SPRM memaklumkan belum lagi memanggil semula tokoh perniagaan bergelar “Tan Sri” dan bekas menteri disyaki terbabit dalam kes tersebut.

Sumber berkata, SPRM masih dalam proses menganalisis dokumen berkaitan pengambilalihan dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai dipercayai pernah diterajui tokoh perniagaan itu.

“SPRM juga masih menjejaki aset-aset dimiliki kedua-dua tokoh itu sekiranya ia adalah hasil daripada ketirisan dana kerajaan,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, SPRM menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” untuk siasatan berkaitan penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Menurut sumber, siasatan dijalankan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Tumpuan siasatan adalah berhubung pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi bekas menteri kanan itu.

Turut baca : Kecoh staf AKSB terima durian runtuh lebih RM10,000 tapi isu air kotor masih tak selesai

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*