Turkiye dilanda gempa baharu, 3 maut, lebih 200 cedera

Ankara, Turkiye: Gempa bumi baharu bermagnitud 6.4 pada Isnin membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 200 orang di beberapa bahagian di Turkiye yang sebelum ini dilanda bencana sama dua minggu lalu.

Pegawai berkata, lebih banyak bangunan runtuh, memerangkap penghuni dan beberapa orang cedera di Turkiye dan Syria.

Gempa bumi baharu pada Isnin itu berpusat di bandar Defne, di wilayah Hatay, Turkiye, antara kawasan terjejas teruk dengan gempa bumi bermagnitud 7.8 pada 6 Februari lalu.

Ia dirasai di Syria, Jordan, Cyprus, Israel sehingga ke Mesir, dan disusuli gegaran bermagnitud 5.8.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata, tiga orang terbunuh dan 213 cedera. Ketika ini, pasukan mencari dan menyelamat berada di tiga bangunan yang runtuh di mana lima orang dipercayai terperangkap.

Beberapa bangunan runtuh dalam kejadian terbaharu itu dan memerangkap penduduk, kata Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas.

Beliau memberitahu stesen televisyen NTV bahawa orang ramai mungkin kembali ke rumah atau cuba untuk mengalihkan perabot dari bangunan yang rosak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*