“Tuntut RM700,000 tanpa perlaksanaan…” Dua lagi suspek seleweng insentif Penjana Kerjaya ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu yang terdiri daripada ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat susulan penglibatan mereka dalam penyelewengan dana Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya).

Kedua-dua suspek berusia 40 dan 41 tahun itu ditahan oleh SPRM di sekitar ibu negara kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

"Tuntut RM700,000 tanpa perlaksanaan..." Dua lagi suspek seleweng insentif Penjana Kerjaya ditahan SPRM
Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya – Gambar hiasan

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Tuntutan tersebut adalah bagi bagi memperolehi bayaran di bawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut baca

Jelas beliau, suspek lelaki iaitu pengarah syarikat berusia 41 tahun ditahan reman selama empat hari sehingga 21 Julai ni selepas Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

“Seorang lagi suspek wanita berusia 40 tahun pula dilepaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil dan kedua-dua individu tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menegaskan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan masih lagi diteruskan.

“Siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana ini akan diteruskan dan mungkin ada beberapa lagi syarikat terlibat yang akan dikenal pasti,” tegas beliau.

Difahamkan, dengan penahanan dua individu tersebut, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire setakat ini telah mencecah seramai 42 orang.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 14 Julai lalu melaporkan bahawa sebanyak 24 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM berhubung tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya membabitkan penipuan sebanyak RM100 juta.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*