Tunku Ismail bikin kelab pencabar ‘panas punggung’

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menjadikan kelab ­pencabar lain ‘panas punggung’ apabila mengesahkan kelab itu tidak pernah ada perasaan jemu untuk mengekalkan dominasi pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Sekalipun memiliki cita-cita besar untuk mencatatkan pencapaian lebih baik di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL), Tunku Ismail menegaskan, deretan kejayaan yang pernah dicatatkan dalam saingan domestik menjadikan kelab itu mula ketagih untuk mencapai pencapaian lebih baik.

“Contohnya, kita (cipta rekod) tidak kalah, buat rekod jaringan dan bolos. Jadi, benda ini akan jadi motivasi untuk kami capai. Walaupun sudah banyak menang trofi tetapi setiap rekod adalah bermakna sebab ia adalah pencapaian.

“Ideanya untuk berikan lebih baik pada ACL, sejauh mana kami boleh pergi dengan pasukan gergasi di Asia. Bukan benda mudah tetapi semua itu (kejayaan) beri motivasi kepada kami,” kata Tunku Ismail.

Sejak mula mengambil alih oleh Tunku Ismail, penguasaan Harimau Selatan semakin sukar digugat apabila memegang rekod sebagai Liga Super sembilan kali berturut-turut.

Malah, JDT turut memiliki koleksi kejuaraan Piala Malaysia tiga kali iaitu pada 2017, 2019, 2022, Piala FA (2016, 2022) serta memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah lapan kali (2015, 2016, 2018, 2019, 2020, 2021, 2022, 2023).

Paling diingati pastinya ketika muncul pasukan pertama di Asia Tenggara menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2015.

Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail juga memberi bayangan untuk memiliki skuad bola sepak wanita sekiranya kedudukan kewangan pasukan bertambah baik pada masa akan datang.

“Contohnya, dahulu kita tidak ada (pasukan) futsal, jadi insya-Allah pada masa akan datang, (kalau) kami ada peningkatan bajet kami juga ada pasukan wanita,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*