Kes rasuah : Penolong akauntan jabatan kerajaan direman seminggu

Seorang penolong akauntan sebuah jabatan kerajaan negeri direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah bengkel kenderaan berjumlah RM41,768.

Perintah reman terhadap wanita berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Wanita itu ditahan 3.30 petang semalam selepas dia memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Suspek disyaki melakukan kesalahan itu semasa bertugas di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK) antara April 2021 hingga Feb 2022 melibatkan suapan bernilai antara RM50 hingga RM2,500.

Suapan itu didakwa sebagai balasan mempercepat bayaran tuntutan bagi kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan tempatnya bertugas.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*