Tindakan seorang tukang urut memuat naik hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri mengundang padah apabila dia ditahan dalam serbuan di sekitar Taman Desa Budiman, Bidong, Kedah, semalam.
Serbuan pukul 2.30 petang itu dijalankan sekumpulan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, satu laporan diterima pihaknya pada pukul 3.24 petang berhubung ancaman melalui akaun Facebook JoeJebatTajudin.
“Hasil siasatan, kita sudah kenal pasti suspek dan membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai tukang urut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan narkotik.
“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelah (USJT) Bukit Aman,” jelasnya.
Suspek yang dipercayai pemilik akaun Facebook bernama JoeJebatTajudin berkongsi satu satu klip video dari halaman YouTube memaparkan kejadian letupan di Beirut, Lebanon.
Dalam perkongsian itu, suspek didakwa memuat naik kapsyen yang mahu membuat letupan sama di rumah Perdana Menteri kerana menzalimi para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Memang sempoi kalau letupan macam itu kat rumah PMX yang menzalimi para pencarum KWSP.
“Mudah mudahan Allah (SWT) akan cabut nyawa PMX dalam masa terdekat ini.. Amin,” katanya dalam hantaran itu.
Leave a Reply