Hina Sultan Selangor : Pemilik akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ disiasat

Polis menyiasat pemilik dan pengendali akaun Facebook Iman Mustaqim kerana disyaki memuat naik hantaran yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pemilik akaun Facebook itu disyaki memuat naik hantaran yang cenderung menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada Sultan Selangor pada 28 Ogos lalu.

“Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan Iman Mustaqim membuat satu komen menghina Sultan Selangor di laman Facebook sebuah portal berita.

Bagaimanapun, semakan FMT mendapati komen itu sudah dipadamkan dan akaun Facebook Iman Mustaqim juga didapati sudah tidak aktif.

Sementara itu, Shuhaily juga menasihatkan orang ramai dan pengguna media sosial supaya bijak serta berhemah ketika mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Polis menasihatkan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya yang melibatkan isu 3R iaitu agama, raja dan bangsa,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*