MAYA’SAN Mansor memandang ke arah Jambatan Batu Pahat, Johor yang merentangi Jalan Peserai. Jambatan itu sibuk dengan kenderaan lalu-lalang.
Masih jelas dalam ingatan Maya’san, di situlah seorang wanita berusia 26 tahun sengaja terjun dari jambatan tersebut, lebih kurang 15 tahun yang lalu. Kejadian bunuh diri itu telah menggemparkan penduduk Batu Pahat.
Sebelum itu, Maya’san belum pernah mendengar kejadian bunuh diri berlaku melibatkan orang Melayu beragama Islam, kerana ia perbuatan yg tidak diredhai agama.
Maya’san tidak kenal siapa wanita muda itu. Cuma pada hari kejadian, Maya’san yang ketika itu bertugas sebagai anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) mendapat panggilan kecemasan memberitahu berlaku satu kejadian bunuh diri di jambatan Batu Pahat.
Maya’san dan rakan-rakannya diminta segera membantu kerja mencari dan menyelamat mangsa. Masih dia ingat, pagi Khamis dalam bulan Disember 2006, Maya’san bersama lapan anggota JPA3 tiba di jambatan itu. Polis marin, bomba dan maritim juga ada.
Maya’san dimaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.00 pagi. Wanita muda itu yang bekerja di sebuah kilang elektronik meninggalkan keretanya di laluan pejalan kaki di tengah jambatan berkenaan. Kemudian, wanita itu dipercayai tergopoh-gapah meluru keluar dari keretanya, memanjat dinding jambatan dan terjun ke dalam sungai Batu Pahat.
Kejadian itu berlaku dengan pantas. Hanya pada pukul 7.30 pagi barulah pengguna jalan raya mengesyaki sesuatu, apabila melihat ada sebuah kereta di laluan pejalan kaki dalam keadaan mencurigakan.
Kejadian itu akhirnya sampai ke pengetahuan suami wanita berkenaan, lalu membuat laporan polis tentang kehilangan isterinya.
Maya’san tidak tahu apakah motif wanita itu terjun dari jambatan tersebut. Tetapi, sekeping nota yang ditinggalkan di dalam keretanya menimbulkan misteri yang sukar diperjelaskan.
Wanita muda itu dipercayai sudah menulis awal nota berkenaan sebelum membunuh diri. Tulisan tangan pada nota berkenaan cantik dan tersusun kemas, dipercayai ditulis di tempat lain. Jika wanita muda itu menulisnya di dalam kereta atau sebelum terjun, tentulah tulisan itu bersimpang-siur dan bahasanya tidak tersusun.
Maya’san membayangkan wanita muda itu tentulah mengalami konflik yang teruk dengan seseorang. Wanita itu hanya meluahkan sedikit konflik yang dialami mungkin sebagai petunjuk untuk ahli keluarga atau suaminya betapa serius tekanan jiwanya.
Nota itu berbunyi: “Mama sayang baby, tolong jaga abah, umi dan ayang. Mama sayang ayah, sampai mati…” Nota itu diakhiri dengan kata-kata perbuatan lelaki (namanya dirahsiakan) itulah yang telah menyeksa hidupnya.
Tidak diketahui siapa gerangan lelaki yang ditulis dalam nota yang sengaja ditinggalkan sebelum wanita itu membunuh diri. Yang pasti lelaki yang dimaksudkan dalam nota berkenaan bukan suaminya.
Berdasarkan nota itu, Maya’san yakin ada lelaki kedua yang telah menyebabkan konflik dahsyat hingga menyebabkan wanita muda itu berasa berdosa terhadap suaminya. Mungkin lelaki itu mengkhianatinya. Atau, mungkin lelaki itu telah memfitnahnya.
Maya’san tidak dapat menyimpulkan apakah perbuatan yang telah dilakukan wanita muda itu dan lelaki kedua di belakang suaminya. Tapi Maya’san sedih, wanita itu menjadi korban konflik dalaman yang mungkin tidak diketahui suaminya.
Tugas menyelamat mesti diteruskan. Bersama dua buah bot peronda polis marin, bomba dan maritim, Maya’san dan anggota JPA3 dikerahkan untuk mencari wanita malang itu sehingga ke malam. Malangnya, tidak berjumpa.
Esoknya, operasi yang dijalankan 24 jam itu akhirnya membuahkan hasil apabila mayat wanita itu dijumpai terapung-apung di sungai Batu Pahat, kira-kira 1.5 kilometer dari pengkalan polis marin.
Mayat wanita itu ditemui masih berpakaian lengkap, berbaju T-shirt merah dan berseluar panjang. Siasatan yang dijalankan pihak polis mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah atau khianat. Tiada tanda wanita muda itu dibunuh atau dihumban ke sungai. Bedah siasat yang dijalankan mendapati wanita itu meninggal dunia akibat lemas.
Kejadian itu sebenarnya amat menyedihkan Maya’san. Dia sedih kerana seorang wanita muda yang juga seorang isteri dan ibu, mengakhiri riwayat hidupnya secara amat tragis sekali.
Kejadian itu tidak pernah hilang dari ingatan Maya’san. Lebih-lebih lagi apabila mendengar kes-kes bunuh diri di kalangan orang yang sebangsa dan seagama dengannya.
Maya’san pelik, tidak takutkah mereka dengan dosa dan hukuman azab yang menanti di sana nanti?
Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang terjun sendiri dari atas gunung, lalu terbunuh, maka dia akan tinggal di dalam neraka Jahannam, sambil terus menerus menerjunkan dirinya sendiri ke dalam neraka Jahannam itu kekal buat selama-lamanya. Sesiapa yang makan racun, kemudian terbunuh, maka racun itu akan berada di tangannya dan dimakannya secara terus menerus di dalam neraka Jahannam buat selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan alat yang tajam, maka alat itu akan berada di tangannya serta sentiasa ditusuk-tusukkan pada tubuhnya di dalam neraka Jahannam dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Turut baca :
Leave a Reply