Seorang wanita dan dua anaknya ditemui mati di dalam bilik kediaman mereka di sebuah apartmen di Kampung Baru Ampang, Ampang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut menjumpai satu sampul berisi surat wasiat dan wang bercampur di lokasi kejadian .
Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian diterima daripada seorang lelaki tempatan sekitar pukul 7.31 pagi tadi.
“Siasatan pihak forensik mendapati mayat tiga beranak itu ditemui di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.
“Penggunaan pita pelekat itu dipercayai bertujuan untuk menghalang udara untuk keluar dan masuk bilik tersebut.
“Turut ditemui arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hussein, pihaknya percaya kejadian tersebut merupakan kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.
“Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti motif dan dalam proses mengesan sebarang unsur jenayah sekiranya ada,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bertemu dengan wanita itu dan anak lelaki serta perempuan pada Isnin lalu.
Difahamkan, kejadian itu hanya disedari bekas teman lelaki mangsa yang menyewa bilik di kediaman itu sebelum menghubungi polis, pagi tadi.
“Saya tidak nampak apa-apa perubahan pada mereka cuma kali terakhir bertemu pada Isnin lalu. Kedua-dua anaknya itu sangat sopan dan baik dengan kami,” ujarnya.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual berusia 42 tahun dan dua anaknya berusia 14 serta 15 tahun dipercayai menetap di apartment tersebut sejak 2018.
- Turut baca : Mayat lelaki mula berulat ditemui
Leave a Reply