AMANAH menganggap pengundi yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu ibarat dipukau.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mendakwa para pengundi ini sudah termakan dengan umpan ‘Islam terancam’ yang didoktrin ke dalam fikiran mereka.
Kerana itu pengundi langsung tidak tahu mengapa mereka mengundi PN, tetapi yang mereka tahu cuma ‘takut’ sahaja.
“Saya menganggap apa yang berlaku pada PRU baru-baru ini dia lebih kepada pengundi macam separuh sedar. Dipukau atau “hypnotise.”
“Dia tidak sedar apa yang dibuat. Dia buat itu (undi) kerana ketakutan sahaja. Takut negara kita akan terancam, tergugat Islam, takut Melayu entah ke mana nanti kalau komunis memerintah.
“Ini yang ditakuti oleh mereka. Mereka buat tanpa mengenali siapa Anwar Ibrahim. Tanpa kenali calon yang mereka sokong,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily baru-baru ini.
Beliau juga menolak kenyataan pimpinan PN yang mendakwa sokongan diterima parti setahun jagung itu adalah Gelombang Hijau.
Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah berkata, tidak wujud sama sekali istilah ‘Gelombang Hijau’ kerana hakikatnya pengundi menyokong PN bukan atas faktor mereka mengenali calon itu, tetapi kerana ketakutan tidak berasas yang dimomokkan kepada mereka.
Pada masa sama, beliau menjangkakan ledakan lelombang yang dikatakan wujud ketika PRU itu tidak akan berhasil dijadikan umpan pada PRN di enam buah negeri.
Beliau mengalu-alukan jika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ingin memainkan semula sentimen kebencian yang disebutkannya sebagai Gelombang takfiri.
Takrifi merujuk kepada perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi mengikuti agamanya. Amalan ini wujud dalam amalan agama Samawi – Yahudi, Kristian dan Islam.
Kata Mahfuz, kempen takfiri yang akan cuba dimainkan itu tidak akan berjaya meraih undi rakyat kerana mereka sendiri sudah melihat kebenarannya.
“Hadi berkata kalau tak keluar mengundi itu berdosa. Adakah Haji Hadi sanggup membiayai kos yang jemaah terpaksa tanggung?
“Sebab itu orang boleh berfikir, takkanlah sampai tak keluar mengundi kerana pergi umrah pun akan menjadi dosa.
“Ini satu benda yang membawa kepada unsur takfiri, iaitu percubaan untuk menakutkan orang,” katanya sambil menambah supaya Majlis Fatwa melihat kenyataan Hadi itu secara serius kerana ia berbahaya kepada perkembangan masa depan negara.
Turut baca :
Leave a Reply