Dakwa PM Anwar tidak beradab, ADUN PAS diserang netizen

Susulan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Sulaiman Sulong yang mendakwa kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu melalui pintu belakang, akaun media sosial Facebook pimpinan Pas Terengganu itu ‘diserang’ dengan komentar netizen yang mengkritik hantaran tersebut.

Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat 1 di dalam kerajaan negeri.

Netizen antara lain menyinggung pandangan keras dilontarkan ADUN Pas Pengkalan Berangan itu dengan melabel beliau sebagai angkuh.

Ini kerana kenyataan tersebut dilihat seolah merendahkan taraf Istana kerana dalam lawatan kerja Anwar, Ahli Parlimen Tambun itu turut menghadap Sultan Terengganu dan bertemu pegawai-pegawai kerajaan Universiti Malaysia Terengganu.

“Hebat level lebai-lebai Pas ni, level lagi tinggi dari Sultan! Kena sembah depan kaki kot baru nak reda suhu politik.

Rakyat memerhatilah perangai perasan hebat, perasan Islam sangat. Setakat Ustaz dekat title sahaja belum tentu masuk syurga,” selar pengguna Facebook menggunakan akaun Syafikah Ismail.

Pendapat sama turut diutarakan warganet bernama Faizi Kdh yang mengingatkan semula bahawa Sultan adalah tuan rumah sebenar, bukannya Menteri Besar Terengganu.

“Tuan rumah tu Sultan, MB tu tukang jaga pintu je. Itupun berlagak sombong tak nak jumpa tetamu tuan rumah,” tulisnya.

Pada semalam, tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan negeri termasuk exco dan menteri besar dilaporkan menyambut ketibaan dan menghantar kepulangan PM Anwar di lapangan terbang.

Walhal Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar memang ada di negeri itu semalam.

Dalam sesi dialog bersama anak-anak muda baru-baru ini, Ahmad Samsuri mendakwa dua bulan sejak pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan barisan Kabinetnya, mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri masih belum diadakan.

Katanya tindakan Anwar berbeza dengan ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah pada 2018 dimana mesyuarat terus diadakan selepas seminggu Tan Sri Mahiaddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kecaman Samsuri itu dibuat ketika berdialog dengan anak muda termasuk memberikan anugerah kepada pemain media sosial yang memenangkan Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Bagaimanapun pemimpin Pas Terengganu kini berdepan tekanan apabila dikecam ramai pihak kerana tidak pula datang berjumpa dengan Anwar ketika Perdana Menteri itu hadir ke negeri tersebut.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*