Tiada lagi hukuman mati mandatori di Malaysia bermula hari ini

Berkuat kuasa hari ini tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, mengikut subseksyen 1(2) Akta 846, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh akta itu mula berkuat kuasa.

“Oleh demikian tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat mulai tarikh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata, pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.

Ujar beliau, prinsip asas yang ingin diberi penekanan oleh kerajaan di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai menjalani hukuman.

Dalam pada itu, beliau berkata, Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) sudah menerima perkenan Diraja pada 9 Jun lalu, namun belum berkuat kuasa.

Menurut beliau, permohonan semakan hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Akta 847 hanya boleh difailkan selepas terdapat penetapan tarikh kuat kuasa oleh Azalina melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sejak Mei 2023 telah mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan mekanisme dan garis panduan pelaksanaan semakan hukuman mati serta pemenjaraan sepanjang hayat.

“Butiran berhubung mekanisme dan garis panduan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelas beliau lagi, reformasi udang-undang itu adalah langkah awal dalam mentransformasikan sistem keadilan jenayah di Malaysia.

“Lebih banyak semakan dan reformasi sistem perundangan jenayah akan dilaksana selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mewujudkan sistem perundangan yang lebih progresif serta relevan bagi membangunkan Malaysia Madani,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*