Terbaring tepi jalan, jururawat alami luka dikepala akibat dipukul

Polis menyiasat kejadian seorang jururawat wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi jalan dipercayai dipukul individu tidak dikenali di Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Pilah, Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata mangsa berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup kira-kira 10 malam, lapor Harian Metro.

Katanya, berdasarkan laporan awal mangsa mengalami luka pada kepala akibat dipukul.

“Polis menerima laporan kira-kira 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya.

Syahrul berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di HTAN menuju ke arah Dangi.

“Buat masa ini mangsa masih dirawat dan kami masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.

“Berdasarkan keterangan awal, mangsa memaklumkan tidak dirompak sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala. Malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi mangsa yang hilang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*