Tak hirau arahan polis, remaja 13 tahun pandu kereta ibu dikejar polis 10 km

Seirang budak lelaki berusia 13 tahun yang memandu kereta melawan arus akhirnya ditahan, selepas polis mengejarnya sejauh kira-kira 10 kilometer (km) di Chukai, Kemaman, Terengganu pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, remaja berkenaan yang memandu kereta Proton Saga bertindak melarikan diri dengan memandu secara melulu selepas terserempak dengan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, sepasukan anggota polis trafik sedang melakukan Op Lancar dan samseng jalanan di kawasan Kemaman Waterfront.

“Polis mengesan suspek yang memandu datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanyan berkata, polis mengejar kereta terbabit dan mengarahkan pemandunya berhenti sebanyak tiga kali, namun tidak diendahkan.

“Selepas mengejar sejauh 10km, kereta itu kemudiannya berhenti di sebuah kedai dobi layan diri dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

“Remaja itu bersama empat rakannya berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun ditahan dan dibawa ke IPD Kemaman untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*