“Tak boleh terima dek akal…” Individu serang Kerajaan Madani ‘bermaharajalela’ di platform kerajaan. Bekas menteri agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan kerajaan melalui jabatan hal-ehwal Islam perlu lebih berperanan dan sensitif dalam mengendalikan isu-isu sensitif terutamanya dalam isu membabitkan jemputan aktivis dan tokoh blok pembangkang di TV Al-Hijrah itu.
“Menteri Agama melalui pegawai-pegawai berkenaan perlu lebih sensitif dengan isu politik kerana ia sebahagian dari ‘menghormati’ Kerajaan Perpaduan.
“Mana mungkin, individu yang jelas menyerang Kerajaan Madani dengan pelbagai tuduhan dan fitnah dibiarkan berada di platform kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembabitan pempengaruh Perikatan Nasional dalam salah satu agensi penyiaran milik Menteri di Pejabat Perdana Menteri itu.
Beliau yang juga Naib Presiden AMANAH, turut menggesa agar kementerian komunikasi dan digital lebih tegas dalam menangani isu fitnah yang sering dimomokkan oleh gabungan Pas dan Bersatu terutama membabitkan isu agama dan kaum.
“Kementerian Komunikasi wajar mengambil tindakan tegas terhadap isu-isu fitnah terutamanya soal kedudukan Islam yang sering dimainkan oleh pembangkang kononnya agama rasmi negara ini bakal terancam di bawah pentadbiran Kerajaan Madani,” ujar Mujahid.
Sehubungan itu, Mujahid yang juga bekas ahli parlimen Parit Buntar juga menyarankan agar kementerian terbabit segera melaksanakan agenda Madani ke seluruh kementerian agar gagasan itu dapat diterjemahkan.
“Melalui J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti), sepatutnya menjadi teras iaitu menjalankan tugas penerangan setiap kementerian.
“Ia bagi memastikan idea Madani itu dapat diterjemahkan ke pentadbiran masing-masing,” jelasnya lagi.
Terdahulu, konsep Malaysia Madani diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikhtiar kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.
Leave a Reply