Syarikat Malaysia, China meterai 3 MoU hampir RM20 bilion

NANNING: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim disertai beberapa menteri menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China sempena lawatan kerja seharinya ke Nanning, China.

Mereka ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin serta Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Maklumat dikongsi Pejabat Perdana Menteri menunjukkan MoU pertama dengan nilai pelaburan dianggarkan RM15 bilion (USD5.2 bilion) antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, yang mana kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji janakuasa sisa kepada tenaga, khasnya di Malaysia.

MoU kedua bernilai kira-kira RM2.34 bilion (USD500 juta) antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group.

Ia melibatkan kerjasama pergudangan dan logistik antara dua syarikat itu dalam menyokong Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu rantau ini untuk menggalakkan kerjasama ekonomi serta perdagangan antara Guangxi dan Malaysia.

MoU terakhir dengan anggaran eksport RM2.5 bilion antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group bagi membina pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.

Anwar yang juga menteri kewangan mengadakan lawatan kerja sehari ke Nanning atas undangan Perdana Menteri China, Li Qiang bagi menghadiri Ekspo China-Asean ke-20 (Caexpo) 2023 di sini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*