Keluar fatwa persenda undang-undang, Hadi perlu dikenakan tindakan

Keluar fatwa persenda undang-undang, Hadi perlu dikenakan tindakan.

Belalang amat tertarik dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa konsep atau undang-undang ‘dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) adalah bercanggah dengan Islam. Abdul Hadi mengatakan undang-undang DNAA tidak wujud dalam Islam, bahkan dijatuhkan sebagai hukum haram jika diputuskan.

Namun, Belalang terkejut apabila konsep DNAA sebenarnya terkandung dalam Seksyen 103 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, undang-undang digubal pada 2001 ketika Abdul Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu. Bahkan enakmen itu hampir sama dengan Seksyen 254 Kanun Keseksaan digunakan pendakwa sivil.

Berdasarkan Seksyen 103 enakmen itu, ia menyatakan ‘pendakwa boleh berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat’.

Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu dan sesudah itu semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran mahkamah dan jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.

Pelepasan sedemikian tidak terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika mahkamah mengarahkan sedemikian.

Nah, di sini amat jelas, apa yang didakwa Abdul Hadi DNAA bercanggah dengan Islam amat bertentangan dengan Seksyen 103 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu.

Belalang fikir, adakah layak seseorang digelar ‘Tuan Guru’ mengeluarkan fatwa boleh mengelirukan ini apatah lagi enakmen itu digubal ketika beliau menjadi Menteri Besar. Fatwa Abdul Hadi ini turut mengelirukan Parlimen.

Belalang lihat, Abdul Hadi tidak serik menggunakan agama untuk kepentingan politik. Beliau terus membuat kenyataan mengelirukan agama dan umat Islam. Sepatutnya, Abdul Hadi kena berhenti membuat kenyataan seperti ini.

Dalam hal ini, Abdul Hadi dan sesiapa saja perlu akur dan patuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan semua pihak terutama pemimpin politik supaya segera menghentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat.

Sultan Selangor bertitah, sekiranya fatwa dibenar untuk dikeluarkan orang dan pemimpin politik, ia akan mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun bangsa.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) meminta supaya agama tidak diperalat bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik menunggang agama.

Justeru, Belalang meminta pihak berkuasa, penguat kuasa undang-undang dan pihak berwajib agama Islam untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira parti pembangkang atau kerajaan kerana mempersenda undang-undang, termasuk enakmen syariah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*