Suspek lawan arus SUKE serah diri, hanya tahu tragedi di TV dan media sosial

SEORANG penunggang motosikal yang menunggang melawan arus di jejambat Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menyerah diri di Balai Trafik Kajang, Selangor pada Jumaat.

Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu sebelum ini didakwa menunggang secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan maut di laluan terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, suspek merupakan peniaga makanan yang menetap di Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tapi telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.

“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya dan selepas kemalangan terbabit suspek terus pulang ke rumah.

“Suspek hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, suspek turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

Mohd Azam berkata, pemeriksaan terhadap suspek mendapati dia mengalami kecederaan patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan.

“Sehubungan itu, pihak polis merampas motosikal jenis Yamaha dan beberapa barang kes lain.

“Sebanyak enam rakaman percakapan saksi termasuk suspek telah direkodkan dan kedua buah motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Tangkapan, bagaimanapun, kata Mohd Azam, tidak dibuat memandangkan kondisi suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.

Prosedur lanjut, ujar beliau, akan diambil setelah keadaan suspek kembali stabil.

Pada Rabu lalu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale, maut selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE berhampiran Ulu Kelang, Selangor.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.05 tengah hari itu, motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mangsa sedang melalui satu laluan berselekoh sebelum secara tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*