SIAPA tidak kenal dengan sosok pelakon yang paling melekat dengan watak air mata. Berilah apa sahaja watak kepada Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 65, pasti akan dijayakan dengan baik sehingga berbekas kepada penonton.
Menceritakan detik menceburi bidang seni, pelakon yang berasal dari Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru ini berkata, dia bermula dengan bidan terjun sebagai pelakon pembantu semasa pertandingan drama dan teater.
Siapa sangka dengan hanya menggalas watak ringan tersebut, dia berjaya menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi pertandingan yang dianjurkan dari peringkat daerah, negeri hingga kebangsaan.
Pada 1972, Wan Maimunah yang lebih selesa membahasakan diri sebagai ibu menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya sebagai seorang penari kebudayaan di Jabatan Belia dan Sukan.
Ketika itu, Fauziah Nawi adalah selebriti pertama yang dikenalinya dan pernah menumpang teduh di rumah keluarganya.
“Selepas itu, saya mula jejakkan kaki ke Angkasapuri sebagai pelakon tambahan tanpa sebarang dialog.
“Ketika itu, saya diarahkan duduk sahaja di dalam set penggambaran dengan dibayar RM30. Zaman dulu berlakon di skrin televisyen hitam putih dan menjalani latihan di studio.
“Masa itu, jumlah tersebut sudah dianggap besar sebab gaji dibayar RM120. Sangat cukup serba-serbi dan lepas duit nak makan nasi campur 80 sen ketika itu,” katanya.
Pelakon legenda yang dilahirkan pada 24 Jun 1957 ini banyak terlibat dengan teater anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka sehingga ramai menyangka dia bekerja sepenuh masa dengan DBP.
Katanya, DBP banyak melakukan pementasan teater yang diadaptasi daripada karya novel.
“Dari pentas itu juga kami berjaya terbang ke luar negara menyertai festival teater di Manila, Filipina menerusi naskhah Tok Selampit,” katanya.
IMPAK QURAN BURUK
Disoal drama pertama memegang peranan sebagai pelakon utama, Wan Maimunah berkata, jujurnya dia tidak mengingati secara spesifik kerana dia bukan jenis yang mencatat sejarah hidup.
Namun, kongsinya, dia masih ingat drama terakhir hitam putih berjudul Cenderamata yang dilakonkan di RTM pada 1979.
“Naskhah tersebut memberi kesan kepada ramai orang termasuk kru penggambaran yang menitiskan air mata ketika beberapa babak dirakam.
“Jujurnya banyak cerita yang memberi kesan kepada diri saya sendiri seperti naskhah Perempuan Dalam Pasungan.
“Boleh dikatakan kebanyakan cerita arahan Rashid Sibir paling memberikan kesan kepada diri ini dan penonton sebab dia adalah seorang pengarah menghasilkan naskhah yang jujur,” kongsinya.
Telefilem Quran Buruk yang disiarkan sejak 2004 juga sangat berbekas di hati primadona cerita Melayu ini.
Masakan sehingga sekarang, jelasnya, masih ramai penonton yang mengingati naskhah tersebut.
Disebabkan cerita itu, katanya, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengiktiraf dirinya sebagai ‘ratu air mata’.
“Masa itu ulang tahun kelahiran baginda dan selalunya golongan penyanyi lebih terserlah dan dikenali ramai.
“Saya terkejut apabila baginda datang dekat kepada saya dan beritahu Quran Buruk adalah naskhah yang bagus.
“Saya tak sangka baginda menonton tele lem itu. Kalau naskhah itu diulang tayang sekali lagi, amatilah setiap patah kata dan dialog yang dilontarkan.
“Cerita dahulu banyak bagi pengajaran dan pelajaran, mengandungi adab sopan, tatasusila, budi bahasa serta penggunaan kata-kata bidalan dan peribahasa yang membuatkan skrip nampak lebih indah,” katanya.
DAKWAH MELALUI LAKONAN
Mengulas lanjut, Wan Maimunah yang pernah membintangi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, penghasilan drama dahulu banyak mengangkat topik kekeluargaan dan kemasyarakatan sehingga mesejnya dirasakan khalayak penonton.
Apatah lagi, katanya, barisan pelakon seangkatannya bukan menghafal skrip semata-mata, sebaliknya memahami dan menghayati skrip yang diberi sekali gus mampu mengikut kehendak pengarah.
“Sebab itu, kami mampu berikan hasil yang jauh lebih baik. Rashid Sibir kalau buat penggambaran selalu hubungi saya, Norlia Ghani, Fauziah Nawi dan Yusni Jaafar.
“Soal kebajikan, makan dan bayaran semuanya dijaga dengan baik,” katanya.
Wan Maimunah sentiasa berpesan kepada diri sendiri untuk menyampaikan dakwah melalui lakonan.
Sebab itu, katanya, setiap kali watak yang diterima, dia akan meletakkan kebergantungan tinggi kepada Allah SWT.
“Itu semua berlaku dengan izin Allah. Ibu anggap lakonan adalah ibadah dan dakwah kepada orang ramai.
“Kalau watak baik, ibu mohon pada Allah berilah sebaik-baiknya watak ini. Kalau watak jahat, kau berilah sejahat-jahatnya,” katanya.
NORMADIAH JADI IDOLA
DISOAL tentang idola dalam bidang lakonan, dia menjadikan seniwati Normadiah sebagai contoh.
Katanya, arwah adalah anak seni yang serba boleh dalam menjayakan pelbagai watak.
“Arwah kalau berlakon jadi watak susah, jahat atau baik semuanya menjadi. Saya sangat menyukai lakonan arwah dan pernah bergandingan semasa naskhah arahan Mahadi J. Murat dahulu,” katanya.
Ditebak naskhah sekarang yang dilihat kurang memberikan impak, kata Wan Maimunah, cerita yang ditayangkan kurang mendidik penonton dengan nilai kekeluargaan serta sering meminggirkan pelakon veteran.
Akuinya, dia masih kecewa dengan stigma segelintir produksi yang beranggapan pelakon veteran bukan bahan pelaris cerita.
“Pernah kadang-kadang tanya, mereka bagi jawapan penonton tak nak tengok orang tua, kami sudah tak boleh berlakon lagi dan cepat penat.
“Ada juga bagi alasan stesen televisyen dan pengiklan tak nak sebab tiada penonton mahu lihat pelakon tua.
“Saya kecewa dengan jawapan begitu sebab bila kami keluar berjumpa khalayak, masih ramai bertanya kenapa sudah lama tidak berlakon lagi,” luahnya.
- Turut baca : “Jangan nilai mereka pada luaran sahaja…” Mael XPDC antara pewakaf tanah untuk Kompleks Tahfiz An Nur Besut
Leave a Reply