Suara tangisan temukan bayi baharu lahir di bawah kolong rumah

Suara bayi menangis selama hampir 10 minit membawa kepada penemuan bayi yang masih bertali pusat ditinggalkan di bawah kolong sebuah rumah di Lorong Seroja, Kampung Sapat semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, saksi iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun menemukan bayi lelaki baharu lahir tanpa seurat benang di bawah kolong rumahnya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan seorang bayi lelaki pada pukul 5.35 pagi semalam.

Berdasarkan siasatan, saksi bangun pada pukul 4 pagi hendak ke tandas di rumahnya sebelum terdengar suara bayi menangis di bawah kolong rumah mereka.

“Selepas hampir 10 minit suara tangisan bayi tiba-tiba terhenti dan saksi beranikan diri turun ke bawah kolong rumah dan terlihat satu objek yang bergerak-gerak.

“Apabila mendekati objek tersebut, saksi terkejut melihat seorang bayi dalam keadaan tanpa seurat benang (bogel) di atas tanah bawah kolong rumahnya.

“Kemudian saksi memanggil isteri beliau dan memintanya membawa tuala untuk menyelimuti bayi yang dalam keadaan kesejukan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Susulan itu, saksi terus menghubungi polis dan bayi telah dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut beliau, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati bayi yang cukup sifat itu dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam. Bayi dalam keadaan stabil dan telah dimasukkan ke Wad Kanak-kanak Hospital Papar dan Pejabat Kebajikan daerah juga telah dimaklumkan mengenai kes tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang masih hidup.

Kamaruddin berkata, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes buang bayi itu. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, Sarjan Noor Azura Linggisan di talian 016-8262067.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*