Suami bunuh isteri angkara cemburu, ramai simpati nasib 2 anak – Ini kronologi kejadian.
SABTU lalu tular sebuah kes melibatkan seorang lelaki yang juga bekas tentera dipercayai telah menikam isterinya sehingga meninggal dunia akibat cemburu dalam satu kejadian di Arau, Perlis.
Suspek yang berusia 38 tahun kini telah ditahan reman seminggu dan nasib anak-anak mangsa kini menjadi perhatian ramai.
Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, ini kronologi kejadian;
1. Dalam kejadian jam 6 pagi 30 September 2023, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu tatkala mangsa sedang dalam bersiap untuk keluar bertugas.
2. Suspek berusia 38 tahun itu ‘naik angin’ kerana mengesyaki isterinya itu telah berlaku curang dan dipercayai bergaduh selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa pada sebelah kiri.
3. Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal, kemudian menghantar dua anak berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.
4. Selepas itu, suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 10 pagi.
Portal tempatan melaporkan jenazah mangsa, Allahyarham Munirah Abu Bakar telah dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam Haji Talib, Kampung Paya Tengah, Beseri, Padang Besar.
Namun apa yang lebih menyayat hati apabila kakak kepada mangsa, Melati Abu Bakar, 39, memaklumkan bahawa dua anak mangsa yang berusia 8 dan 6 tahun masih tidak tahu akan perkara sebenar yang menimpa ibu mereka.
Ujarnya, anak-anak arwah adiknya belum mengetahui kejadian sebenar berlaku pada ibu mereka sehinggalah jenazahnya pulang untuk dikebumikan semalam.
Tambahnya lagi, anak sulung arwah juga kerap bertanyakan di mana ibu mereka dan menganggap ibunya masih belum pulang ke rumah kerana bekerja.
Dalam pada itu, ibu bapa kepada Allahyarham Munirah memaklumkan yang mereka akan membincangkan soal penjagaan anak kepada jururawat berkenaan bersama keluarga suami mangsa.
Abu Bakar Senapi, 64 berkata, pihaknya masih belum memikirkan mengenai hal tersebut memandangkan kes yang menimpa arwah anak perempuannya itu baru saja berlaku.
Menjengah ke media sosial, ramai yang bersimpati terhadap dua anak kecil itu atas kehilangan ibu dek perbuatan kejam bapa sendiri.
Ujar mereka;
“Ibu tak ada, ayah tentulah ke ‘dalam’. Sebaknya, moga ahli keluarga dapat menjaga mereka sebaiknya.”
“Mati di tali gantung. Anak jadi mangsa seumur hidup.”
“Anak-anak pulak siapalah yang jaga kesiannya.”
“Tak suka hantar balik ke ibu bapanya. Yang kau kejam kenapa!”
“Semoga keadilan berpihak padanya dan anak yang ditinggalkan.”
Terdahulu, jenazah Munirah yang telah ditikam suaminya itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan kemudian dibawa pulang ke kediaman di Beseri untuk proses pengebumian.
Al-Fatihah…
Leave a Reply