Polis ramai punca ceramah PN kurang sambutan – PAS

Pemimpin PAS terus menyalahkan kehadiran polis yang ramai telah menyebabkan pengundi takut untuk menghadiri ceramah anjuran PN di Pelangai.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Solahuddin Hashim berkata pihak berkuasa tidak perlu risau dengan ancaman di ceramah yang dianjurkan PN kerana mereka sentiasa mematuhi peraturan.

“Program-program ceramah PAS sekarang ini tidak adalah ganggu-gugat, kacau-bilau, baling kerusi macam puak sebelah sana tu kami disiplin, kami patuh pada undang-undang,” katanya ketika berceramah di Dataran Purnama Simpang Pelangai, dekat Bentong, malam tadi.

Pun begitu, Awang tidak memperincikan siapa ‘puak sebelah sana dalam kejadian baling kerusi yang dimaksudkannya itu.

Polis ramai punca ceramah PN kurang sambutan - PAS

“Itu saya sebut tadi pada pilihan raya enam negeri baru-baru ini kita buat khemah macam ini (di Pelangai) polis masuk dalam khemah penuh.

“Saya kata (kita) buat khemah ni untuk orang mari dengar (ceramah)…saya kata kalau macam ni orang tak masuklah orang takut.

“Polis boleh ambik gambar, boleh bertugas, jaga keselamatan tapi duduk luar khemah…khemah ni untuk pengundi-pengundi, pendengar ceramah.

“Itu yang kita tegur bukan larang, itu tugas kamu bertugaslah (untuk) siapa jadi kerajaan hari ini, untuk diikut tapi tengoklah arahan sama, jangan arahan luar tabii pun nak ikut arahan songsang pun tak boleh,” katanya

Pada 29 Sep lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa kehadiran “luar biasa” anggota polis di program kempen calon PN Kasim Samat dan ia telah menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.

Dia juga mendakwa polis memantau program walkabout dan kunjungan rumah ke rumah yang dijalankan Kasim.

Katanya, situasi itu menyebabkan kesukaran untuk Kasim berhubung dengan pengundi.

Bagaimanapun, Kasim ketika diminta mengulas isu itu berkata dia tidak mempunyai masalah dengan kehadiran pihak polis.

Kasim akan berdepan calon BN Amizar Abu Adam dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed menggesa orang ramai merakam program kerajaan ketika kempen kali ini sebagai bahan bukti pelanggaran peraturan pilihan raya.

Ahmad menasihatkan pengundi supaya tidak mengundi calon BN kerana dikhuatiri akan menerima nasib yang sama dengannya iaitu keputusan pilihan raya dibatalkan selepas petisyen dikemukakan.

“Pengundi DUN Pelangai tak usah undi calon BN, kalau dia menang pun dia akan kena macam saya.

“Sebab bukti jelas di depan mata banyak,” katanya ketika berceramah.

Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang juga calon PAS bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*