SPRM : Tiga kempen pilihan raya sejak 2018 dibiayai syarikat perjudian

Sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018 dibiayai dengan menggunakan dana daripada beberapa syarikat perjudian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti.

Seramai 14 orang telahpun ditahan dan lebih ramai akan dipanggil untuk siasatan ke dalam skandal perjudian – rasuah ini, lapor Utusan Malaysia.

Dana bernilai RM6 juta hingga RM7 juta diterima orang kenamaan dan pimpinan politik setelah syarikat perjudian memperoleh lesen pengoperasian mesin slot di kelab persendirian dan persatuan yang dimiliki oleh syarikat pengendali mesin judi.

Sebahagian dana tersebut telah digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya umum ke-14 dan ke-15 dan pilihan raya negeri di enam negeri.

Menurut siasatan SPRM, syarikat judi terbabit juga dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan individu kenamaan dan pemimpin politik.

Kebarangkalian terdapat bayaran tertentu dibuat syarikat-syarikat tersebut kepada pihak berkuasa di negara ini secara bulanan agar operasi judi yang dijalankan lancar dan tidak diganggu tidak boleh ditolak sama sekali.

Dari sejumlah 14 yang ditahan, seorang merupakan Tan Sri dan seorang Datuk Seri dalam operasi khas pada hari Rabu.

Tangkapan terbaru membabitkan pengendali syarikat perjudian yang berpusat di Pulau Pinang ditahan pada hari Ahad dan direman selama tiga hari.

SPRM juga sedang mengesan beberapa individu yang berada di luar negara sejak minggu lalu untuk membantu siasatan.

Nama mereka akan diumumkan SPRM sekiranya mereka gagal tampil untuk membantu siasatan.

SPRM turut mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa untuk tujuan ini.

Setakat ini, individu berkenaan dipercayai berada di negara jiran dan di sebuah negara Eropah.

Dalam pada itu SPRM telah membekukan akaun beberapa individu dan syarikat yang mempunyai dana sebanyak RM40 juta.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*