Sorok minyak masak bersubsidi, pasar raya diserbu KPDNHEP

Penguat kuasa KPDNHEP Sepang memeriksa bekalan minyak masak peket 1kg yang disorok dalam stor sebuah pasar raya di Kota Warisan pada Jumaat lalu.

Sebuah pasar raya di Kota Warisan, Sepang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelmarin, selepas dikesan menyorok dan menjual minyak masak peket 1kg secara bersyarat.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, penguat kuasa KPDNHEP Sepang yang berpakaian preman memeriksa premis itu susulan aduan orang ramai.

Ketika pemeriksaan dilakukan, katanya, dokumen deklarasi maklumat mengenai keberadaan sebenar bekalan minyak masak bersubsidi itu gagal dikemukakan kepada pasukan penguat kuasa.

“Situasi ini memberi isyarat kepada pasukan pemeriksa untuk membuat siasatan susulan ke atas premis yang diadukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 itu,” katanya menurut laporan Kosmo.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wujud tindakan tidak beretika oleh peniaga, iaitu menjual dan membekalkan barang kawalan bersubsidi itu secara bersyarat kepada pelanggan, selain sejumlah produk itu disimpan dalam stor.

“Premis berkenaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19 AKB 1961 atas kesalahan menjual barang kawalan berjadual secara bersyarat dan pasukan penguat kuasa turut merampas 1,944 unit minyak masak peket 1kg bernilai RM4,860 serta dokumen urus niaga berkaitan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 22 (1) AKB 1961.”

Katanya, penguat kuasa turut menyiasat potensi kesalahan lain seperti keengganan menjual barang berjadual dengan kuantiti munasabah kepada pelanggan dan penyelenggaraan buku stok bagi barangan berjadual oleh pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP akan bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*